mutakhir

Jarak sosial kaedah terbaik tangani Covid-19

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PENJARAKAN sosial adalah 'vaksin' terbaik yang perlu dilaksanakan semua pihak bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, penjarakan sosial adalah pematuhan paling utama selepas pemakaian pelitup muka, pembasmi kuman serta memeriksa suhu badan.

Katanya, untuk memastikan pematuhan penjarakan sosial memang diakui agak sukar dilaksanakan lebih-lebih lagi kepada pelajar, namun peranan guru dan ibu bapa menjadi kunci utama.

"Cikgu perlu memainkan peranan terutama ketika di dalam kelas, manakala di luar sekolah pula menjadi peranan ibu bapa agar mengingatkan anak-anak mengenai penjarakan sosial.

"Ibu bapa harus beri pesanan hari-hari kepada anak mereka sebab apabila kita duduk secara rapat, peluang untuk virus bergerak lebih tinggi walaupun ketika memakai pelitup muka.

"Malah, jika diberi pilihan antara semua kepatuhan yang ada, saya akan menyarankan utamakan penjarakan sosial," katanya ketika dihubungi untuk mengulas berhubung kaedah terbaik menangani Covid-19, hari ini.

Dr Hanafiah berkata, penjarakan sosial di sekolah adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan terutama di kawasan berkepadatan penduduk.

"Namun, ia bukan sesuatu yang mustahil kerana apa lagi pilihan yang kita ada untuk memastikan sistem pembelajaran anak-anak dapat diteruskan.

"Kalau dulu kita boleh kawal Covid-19 sehingga bilangan positif dijangkiti menurun, saya juga yakin rakyat boleh buat kepatuhan (penjarakan sosial) ini.

"Maknanya, kita kena sedaya upaya berganding bahu kerana silapnya kita berhenti memberi kesedaran kepada orang awam sehingga ada yang sudah lupa bahawa kita masih berdepan dengan virus Covid-19.

"Kita perlu membiasakan diri menjalani kehidupan secara normal baharu sehingga kita boleh kembali normal jika vaksin ditemui nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 9:06pm
    d