mutakhir

Peranan JKJR lebih mampan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

FUNGSI Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai agensi sehenti bagi program keselamatan jalan raya akan lebih mampan selepas diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, tanggungjawab JKJR dalam perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan pembangunan kini berada bawah tanggungjawab pihaknya.

"Saya yakin dan percaya melalui penggabungan ini, JPJ akan menjadi lebih kukuh dan mampan apabila empat aspek utama aktiviti keselamatan jalan raya kini berada di bawah satu bumbung.

"Empat aspek berkenaan termasuklah pendidikan, kejuruteraan, persekitaran dan penguatkuasaan.

"Semua aspek utama ini adalah medium berkesan dalam meningkatkan pematuhan masyarakat terhadap undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya pada majlis Ramah Mesra Bersama Media di Putrajaya, hari ini.

Shaharuddin berkata, empat aspek itu amat relatif dalam melestarikan keselamatan jalan raya di negara ini.

Dalam pada itu, Shaharuddin turut mengucapkan terima kasih kepada media kerana banyak membantu pihaknya menyebarkan maklumat mengenai fungsi jabatannya kepada rakyat.

"Sehubungan itu, saya amat optimis dan percaya segala inisiatif ini akan lebih berkesan jika mendapat sokongan daripada pihak media dalam membuat publisiti kepada masyarakat.

"Sokongan padu media ini amat diperlukan oleh negara dalam membendung kes nahas jalan raya yang merupakan salah satu daripada pembunuh utama di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan JKJR akan diambil alih oleh JPJ berkuatkuasa 1 Mei lalu bagi memperkasa serta memantapkan lagi jabatan-jabatan bawah Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

tamat

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 10:02pm
d