mutakhir

20 juta batang rokok seludup dirampas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 20.4 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM2.24 juta yang dibawa masuk sindiket menerusi Pelabuhan Labuan, 10 Julai lalu.

Terdahulu, dua kontena berisi rokok itu tiba di pelabuhan sehari sebelum pemeriksaan dilakukan oleh Unit Siasatan Dalaman (USD) Zon Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan menjumpai rokok berjenama yang disyaki barang larangan atau belum lulus kastam.

"Pemeriksaan pada borang Kastam 1 (Import), Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan bahawa dagangan di dalam dua kontena itu diikrar sebagai rokok dan diimport dari salah sebuah negara di Asia Tenggara.

"Siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai Lesen Import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

"Anggaran jumlah barang rampasan adalah 20.4 juta batang rokok yang bernilai sebanyak RM2.24 juta dengan anggaran jumlah duti atau cukai RM14.45 juta," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Johari berkata, susulan pemeriksaan, pihaknya berjaya mengenal pasti dua syarikat dan seorang ejen kastam yang disyaki menguruskan pengikraran dagangan terbabit.

"Beberapa individu lain yang disyaki terbabit penyeludupan itu juga sedang dikesan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tidak berkastam atau barang larangan.

Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 10:04am
d