mutakhir

Jangan berlengah daftar harta intelek

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TAHAP kesedaran masyarakat untuk mendaftarkan harta intelek masih rendah di negara ini.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, sejumlah 715,886 harta intelek didaftarkan setakat Jun lalu dengan 75,485 sudah mendaftarkan paten, Cap Dagangan (611,504), Reka Bentuk Perindustrian (28,805) dan Petunjuk Geografi sebanyak 92.

Katanya, ia disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai kelebihan dan faedah pendaftaran harta intelek kepada perniagaan serta sikap tidak ambil peduli kepentingan melindungi harta intelek dalam kalangan masyarakat.

"Ramai beranggapan bahawa perlindungan harta intelek sebagai pilihan. Rata-rata masyarakat terutama golongan usahawan tidak menitikberatkan soal perlindungan inovasi mereka kerana faktor 'tidak wajib'.

"Maksud lebih tepat, tidak daftar harta intelek tetapi masih boleh berniaga. Namun mereka tidak sedar bahawa harta intelek mereka terdedah kepada risiko diciplak atau ditiru dan lebih malang lagi pihak yang meniru itu mendaftar pula ia sebagai harta intelek mereka," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, MyIPO mengadakan program kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat antaranya mengikut umur kumpulan sasar contohnya menganjurkan Program IP Summer Camp untuk pelajar sekolah, yang berteraskan konsep 'Memiliki, Melindungi, Mengkomersialkan dan Membudayakan'.

"Melalui program ini pelajar sekolah mendapat pendedahan awal mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dan membudayakan harta intelek dengan menghormati hasil harta intelek orang lain.

"Selain itu, MyIPO menganjurkan program IP Funtastic (IP Fun Learning to Aspire Technology, Innovation and Creativity) untuk membantu pelajar menjadi usahawan digital," katanya.

Mohd Roslan berkata, ada juga yang beranggapan pendaftaran harta intelek adalah mahal sedangkan usahawan hanya perlu mengeluarkan belanja sekali dalam 10 tahun iaitu sebanyak RM950 yang bermaksud cap dagangan atau tanda niaga mereka dilindungi undang-undang selama tempoh berkenaan.

Katanya, banyak faedah yang diperoleh sekiranya usahawan mendaftar harta intelek mereka iaitu hak milik eksklusif iaitu untuk menggunakan harta intelek yang didaftarkan sama ada cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian atau petunjuk geografi dalam urusan perdagangan.

Menurutnya, ia juga bagi menjana pendapatan melalui perdagangan, pindah milik, francais atau pelesenan dan menghalang peniruan yang mana pemilik harta intelek berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menggunakan harta inteleknya tanpa kebenaran.

Beliau berkata, masyarakat terutamanya pereka, pengeluar, pengilang dan penjual semakin peka terhadap kepentingan melindungi harta intelek kerana setiap idea kreativiti yang dihasilkan amat bernilai dan menjadi penyumbang kepada ekonomi dan reputasi sesebuah perniagaan.

"Masyarakat juga seharusnya tidak berlengah dalam membuat pendaftaran agar harta intelek ciptaan mereka tidak dicuri dan seterusnya dapat mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan pelanggaran ke atas hak harta intelek itu.

"Kita perlu menghormati harta intelek. Ini adalah bagi menggalakkan lebih banyak penghasilan produk inovasi dan mewujudkan persaingan perdagangan yang sihat seterusnya ia dapat menarik pelaburan asing ke negara kita dan secara tidak langsung dapat memajukan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 1:23pm
d