mutakhir

Terkilan wang simpanan, kereta arwah anak musnah

Oleh Nor Farhani Che Ad

"SAYA reda dengan apa yang berlaku, tetapi rasa terkilan kerana wang simpanan arwah anak lelaki yang ditinggalkan untuk kegunaan kami berjumlah lebih RM5,000 gagal diselamatkan," itu luahan Che Wan Ramli, 69.

Rumah warga emas itu di Kampung Kongsi Enam, Bedong, Sungai Petani antara dua kediaman yang musnah dalam kebakaran pada 12.30 tengah malam tadi.

Che Wan berkata, dia juga terkilan kereta Perodua Axia tinggalan arwah anak keduanya tidak dapat diselamatkan berikutan kejadian berlaku begitu pantas.

Menurutnya, suaminya Mustapa Ahmad, 75, memberitahu dia terdengar bunyi letupan di suis salah sebuah bilik tidur sebelum api menjulang naik.

"Semalam suami tidur di bilik berkenaan, manakala saya tidur di bilik yang lain. Suami kata dia dengar bunyi letupan di suis dalam bilik berkenaan sebelum api keluar membakar wayar suis.

"Saya hanya menyedari kejadian selepas melihat rumah tiba-tiba gelap dan menyangka kemungkinan bekalan elektrik terputus," katanya ketika ditemui, hari ini.

Che Wan berkata, ketika keluar dari biliknya, dia ternampak api di bilik suaminya tidur lalu mencari empat cucunya yang kebetulan bermalam di rumah mereka pada malam kejadian.

Katanya, ketika itu dia hanya memikirkan nyawa ahli keluarga sahaja dan tidak sempat menyelamatkan harta benda yang lain.

"Memang sedikit terkilan kerana gagal menyelamatkan beberapa barangan bernilai termasuk kereta milik arwah anak yang ditinggalkan untuk kami sebelum arwah meninggal dunia akibat kanser hidung pada Februari lalu.

"Arwah juga ada meninggalkan wang simpanan yang kami simpan di celah-celah baju, namun semuanya sudah musnah terbakar," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran membabitkan dua buah rumah jenis berkembar kelas C dan dua kereta.

Katanya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan BBP Sungai Petani dikejarkan ke lokasi bersama tiga jentera bagi memadamkan kebakaran.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 4:36pm
d