mutakhir

Putus empat jari, gaduh pasal teman wanita

Oleh Ruwaida Md Zain

POLIS berjaya memberkas suspek yang dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan sehingga mendatangkan cedera parah di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2, Klang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis menerima panggilan berhubung pergaduhan itu jam 10.40 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan tiga lelaki tempatan berpunca daripada perselisihan faham berkenaan teman wanita mangsa.

"Dua suspek lelaki tempatan menyerang mangsa menggunakan parang menyebabkan mangsa yang berumur 28 tahun mengalami kecederaan parah iaitu putus empat jari tangan kanan serta kecederaan lain di badan dan kepala akibat tetakan.

"Mangsa yang kritikal kini dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang suspek yang berumur 31 tahun kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

"Suspek ditangkap tengah malam tadi di HTAR ketika mendapatkan rawatan kerana suspek turut cedera dalam pergaduhan itu.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek dsngan nama panggilan 'Kittang' berumur 28 tahun yang masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, jika orang awam mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan/Balai berdekatan atau Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-689 2777.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 5:10pm
d