mutakhir

Tak perlu saringan sebelum penerbangan, tetapi wajib kuarantin [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

INDIVIDU yang pulang ke negara ini tidak lagi perlu mengambil ujian Covid-19 tiga hari sebelum penerbangan memandangkan mereka tetap perlu menjalani kuarantin wajib di institut latihan awam atau hotel sebaik tiba di pintu masuk negara.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia tetap bergantung kepada syarat ditetapkan negara pelepasan individu itu atau juga jika pesawat yang mereka naiki menetapkan perlu mengambil ujian berkenaan terlebih dahulu.

Menurutnya, jika pihak syarikat penerbangan mahu mereka melakukan ujian itu sebelum menaiki pesawat maka ia terpaksa dilakukan.

"Tetapi untuk kita tidak perlu sebab apabila tiba di negara ini akan menjalani Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan swab test sebelum ditempatkan di kuarantin wajib.

"Jika mereka menunjukkan gejala akan terus dipindahkan ke hospital begitu juga yang didapati positif selepas melakukan ujian itu," katanya pada sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan 10 peratus individu yang kuarantin di rumah tidak menjalani ujian saringan hari ke-13, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menjalankan siasatan dan mengesan mereka.

"Tindakan sudah diambil dan kita harap dapat kesan semua 10 peratus individu terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 6:35pm
    d