mutakhir

Dicekup berkhalwat dengan wanita Thai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang pernah dicekup berkhalwat dengan seorang wanita pada Mac lalu masih tidak serik apabila ditahan sekali lagi, tetapi dengan pasangan berlainan.

Suami orang berusia 42 tahun itu dicekup dengan wanita warga Thailand yang juga isteri orang berusia 30-an di sebuah rumah di Kampung Sungai Sari, Padang Cenderai, Kuala Nerang kelmarin.

Mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Padang Terap diketuai Muhammad Afwan Abdul Aziz berdasarkan maklumat awam pada 9.20 pagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, hasil pemeriksaan mendapati hanya mereka berdua dalam rumah tanpa sebarang ikatan sah atau mahram.

Beliau berkata, semakan juga mendapati lelaki itu pernah dicekup berkhalwat kira-kira tiga bulan lalu dengan wanita lain.

"Berikutan itu, pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Padang Sanai untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Padang Terap untuk diambil keterangan," katanya.

Radzi berkata, ini adalah tangkapan kali kedua oleh pihaknya, dan dimaklumkan sebelum ini lelaki itu pernah dicekup berkhalwat oleh isterinya sendiri pada tahun ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 6:40pm
d