mutakhir

24 peratus individu HSO, tidak guna 'Home Assessment Tool' [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 24.8 peratus daripada jumlah individu diletakkan di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) tidak menggunakan fungsi Home Assessment Tool.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Home Assessment Tool berfungsi untuk membolehkan individu menjalani penilaian kendiri setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata, sejak kebelakangan ini, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah HSO, namun didapati berada di tempat awam.

Katanya, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kian menurun.

"Jika diperhatikan, lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli-belah di pasar raya dan kembali bekerja di pejabat, walaupun jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi MySejahtera didapati terus meningkat dalam tempoh tiga minggu lalu, jumlah daftar masuk di premis seperti kedai makan, pasar raya dan sebagainya didapati menunjukkan tren penurunan.

"Ini menunjukkan bahawa pematuhan terhadap SOP kian berkurangan. Pemilik premis dan masyarakat umum diingatkan untuk terus mematuhi SOP ditetapkan supaya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik ini, malah rakyat digalak terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan tindakan yang didapati melanggar SOP kepada pihak penguatkuasa untuk tindakan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 7:02pm
    d