mutakhir

Putih mata lihat dua kenderaan rentung dibakar

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

"TRAGEDI kebakaran motosikal itu berlaku sehari sebelum saya perlu menghantar anak ke hospital untuk menjalani pembedahan. Mujur ada jiran dan rakan yang sudi meminjamkan kereta bagi memudahkan urusan itu," ujar Mohd Isa Ramli, 38, yang kehilangan dua motosikal dan sebuah kenderaan dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia di sini.

Dalam kejadian jam 5 pagi, 6 Julai lalu, sebanyak 47 motosikal dan 12 kereta yang diletakkan di kawasan parkir PPR berkenaan musnah dalam kebakaran mengejut.

Mohd Isa berkata, salah sebuah motosikal kepunyaannya yang hangus terbakar masih baru dan tidak sampai setahun digunakan.

"Saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku namun reda dengan ujian menimpa saya dan keluarga," katanya pada majlis sumbangan bantuan Majlis Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) menerusi Baitulmal kepada 50 pemilik kenderaan yang menjadi mangsa tadi.

Bantuan sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon kepada mangsa mengikut tahap kerosakan kenderaan dengan jumlah keseluruhan RM60,500.

Mohd Isa yang mengalami kerugian mencecah RM30,000 memaklumkan sumbangan yang diterima itu akan dijadikan modal untuknya berulang-alik ke tempat kerja.

Seorang lagi mangsa, Muhamad Shahril Abd Raheem, 29, turut kerugian apabila kereta Perodua Axia turut terbakar.

"Kereta saya masih lagi berada di bengkel dan dalam proses berunding dengan pihak insurans kenderaan," katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Sementara itu Akbar Samon, berkata, penyerahan Bantuan Musibah ini adalah usaha MAIWP bagi menyantuni asnaf yang ditimpa musibah.

Tambahnya, dia menyeru orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan memuat turun Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) bagi memudahkan MAIWP menjejak golongan yang dalam kesusahan.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 8:26pm
d