mutakhir

Lelaki 'gelang pink' dikompaun RM1,000

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG pemilik kedai nasi kandar di pekan Napoh, Jitra dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan kuarantin di rumah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, lelaki berusia 57 tahun itu dipercayai pulang dari India pada 13 Julai lalu dan perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

Beliau berkata, walaupun keputusan ujian saringan Covid-19 setakat ini disahkan negatif, namun dia perlu menjalani ujian saringan kedua minggu depan.

Katanya, pihaknya pergi ke kedai lelaki itu sebaik menerima laporan dari penduduk di kawasan terbabit.

"Pihak kami mengambil keterangan dan mengeluarkan kompaun di hadapan kedainya selepas mendapati dia masih memakai gelang merah jambu (pink).

"Lelaki itu sepatutnya mengikut arahan kuarantin di rumah selama 14 hari dan bukannya berada di tempat terbuka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, hasil soal siasat yang dilakukan, lelaki itu memberi alasan berada di situ untuk melihat kawasan premis kedainya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang merah jambu berada di tempat awam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 10:09pm
    d