mutakhir

Bot nelayan guna awak-awak warga asing ditahan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BOT nelayan tempatan bersama tekong dan lima awak-awak termasuk empat warga asing ditahan kedudukan 0.5 batu nautika di Barat Laut Pulau Tikus, Georgetown, semalam.

Penahanan dilakukan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika mengadakan rondaan Op Benteng pada 3 petang.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Hamizan Harun berkata, pemeriksaan terhadap bot tanpa nombor pendaftaran itu mendapati ia dinaiki tekong lelaki warga tempatan berusia 37 tahun.

Katanya, pihaknya turut menemui lima awak-awak berusia 19 hingga 33 tahun di mana empat daripadanya dipercayai etnik Rohingya.

"Selain tekong dan awak-awak, bot termasuk dua pukat hanyut, tiga tong ikan, satu motor penarik pukat dan peralatan lain dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya.

Katanya, orang awam diminta melaporkan kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau 04-2643650.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 1:04pm
d