mutakhir

Tentera bantu baiki rumah mangsa ribut

Oleh Mohd Rafi Mamat

TIGA rumah mangsa ribut di Kampung Pulai Serai dan Kampung Merchong, Pekan dibaiki menerusi Program Jiwa Murni Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Empat Briged (Mekanize) Kem Batu 10, Kuantan.

Program dua minggu berakhir semalam itu mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP); Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai Serai dan Kampung Merchong.

Pegawai Pemerintah Skuadron Bravo Rejimen Pertama Kor Armour Diraja, Mejar Ahmad Rosnizam Mat Stu berkata, seramai 10 pegawai dan anggota terbabit sepanjang program itu yang bertujuan meringankan beban mangsa terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, sebelum ini Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafi Billah Shah menitahkan supaya briged berkenaan membantu membaiki rumah yang rosak akibat ribut akhir bulan lalu.

"Kerjasama semua pihak membolehkan kerja membaiki tiga rumah di dua kampung berkenaan berjalan lancar.

"Peralatan seperti paku, kayu dan atap disediakan MUIP yang menyediakan peruntukan khas untuk mangsa bencana alam," katanya.

Beliau yang turut sama menyertai program berkenaan berkata, awal bulan ini briged berkenaan terbabit membaiki 21 rumah peneroka di Felda Jengka 21 yang rosak akibat ribut pada 29 Jun lalu.

Sementara itu, seorang pemilik kediaman itu, Jelimah Abdullah, 52 berkata, dia bersyukur kerana kerosakan bumbung rumahnya dapat dibaiki dalam masa singkat.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera dan MUIP," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 2:15pm
d