mutakhir

Tiga penganggur berdepan hukuman gantung [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas pertuduhan memiliki ganja seberat 959.4 gram di sebuah rumah di Padang Pauh, Padang Besar, Jumaat lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Zed Amirul Zaquan Z Zamri, 26, Muhammad Zakwan Azhar, 25, dan Mohammad Shamizan Mohammad Zahir 25, di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki dan berada di dalam kawalan dadah jenis kanabis anggaran berat 959.4 gram di sebuah rumah di Padang Pauh, 1.55 pagi pada 17 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Semua tertuduh diwakili peguam Mohd Asrul Atfendi Abdul Halim dan KT Jayaraj, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Poh Yi Tying.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh Jodia Poh dan mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan empat penganggur lelaki termasuk seorang graduan universiti awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dan menanam sebatang pokok ganja di Perlis, pada 16 dan 17 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 2:23pm
d