mutakhir

Terokai peluang pekerjaan baharu

Oleh Omar Ahmad

RAKYAT Malaysia yang kehilangan kerja di Singapura akibat pandemik Covid-19 disaran menerokai bidang kerja baharu dalam sektor pelancongan domestik, logistik dan penyediaan makanan yang ada di negara ini.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, pelancongan domestik memainkan peranan besar dalam membangunkan semula ekonomi negara ketika ini.

Katanya, ia sekali gus memberi peluang pekerjaan baharu kepada rakyat yang hilang mata pencarian akibat penularan wabak itu.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura sahaja. Kita kena berusaha mencari pekerjaan baharu dalam sektor lain bagi menjana semula ekonomi keluarga serta negara.

"Biarpun tidak mendapat gaji yang tinggi seperti di Singapura, sekurang-kurangnya mereka yang kehilangan pekerjaan boleh mencuba sesuatu yang baharu dengan pendapatan setimpal.

"Sektor pelancongan juga bukan hanya terhad kepada menjadi ejen pelancongan tetapi latihan, pengangkutan dan pemasangan pekerjaan yang sesuai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Michael Tay, pihaknya yakin boleh membantu ramai individu yang kehilangan kerja dengan menceburi sektor terbabit.

"Memang ramai yang hilang kerja lebih-lebih lagi rakyat kita yang berulang alik ke Singapura. Tetapi harapan untuk mereka mencari kerja juga luas dalam bidang baharu ini.

"Contohnya apabila jadi ejen pelancongan domestik dan dalam masa sama membuat latihan untuk meningkatkan kemahiran dalam sektor ini, apabila sempadan dibuka mereka boleh meneruskan pekerjaan dalam bidang ini dengan skop yang lebih luas", katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 4:00pm
d