mutakhir

Jalan Besar Ampang sesak dengan warga Bangladesh [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

PENDUDUK di sekitar Pekan Ampang, semakin rimas dengan kehadiran ramai warga Bangladesh yang didakwa menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu-lintas dan pengotor.

Wakil peniaga, Andre Lai, 39, berkata, masalah berkenaan sering berlaku selepas pembukaan Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia di Jalan Besar Ampang, dua tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, lokasi bangunan itu terletak di jalan utama laluan sehala dan kewujudan pusat berkenaan menyebabkan ia menjadi tumpuan warga Bangladesh dari seluruh negara untuk melakukan urusan pasport.

"Sesetengah mereka bersikap pengotor termasuk membuang air kecil di lorong belakang kedai dan meludah di merata-rata tempat yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada kami.

"Jumlah mereka yang terlalu ramai berkeliaran turut menyebabkan penduduk tempatan kurang selesa dan sukar untuk singgah membeli barang.

"Selain masalah kekotoran kawasan sekitar, kami turut berhadapan kesesakan yang teruk. Biasanya ada banyak teksi atau kereta yang membawa warga Bangladesh (untuk urusan pasport) parkir sesuka hati dan berlapis di jalan utama laluan sehala yang sempit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media anjuran Kelab Kebajikan Masyarakat Saksama Ampang yang dilakukan di hadapan bangunan konsulat Bangladesh itu.

Andre berkata, keadaan ketika ini menyebabkan suasana sekitar pekan Ampang seperti bukan di negara ini malah lebih mencurigakan apabila wujud premis tanpa papan tanda yang dikendalikan oleh warga Bangladesh.

"Ini hanya spekulasi saja tetapi ia mencurigakan," katanya.

Pemilik kedai ubat, Yap Meng Fatt, 66, pula meminta pihak berkuasa supaya mengawal keadaan itu dengan menempatkan penguat kuasa di kawasan berkenaan.

"Biasanya Isnin dan Selasa lebih ramai warga Bangladesh di sini. Bising, buang sampah dan meludah. Mereka datang dari seluruh negara. Ada dari Johor, Kuantan, Pulau Pinang, mereka nak perbaharui atau buat pasport baharu," katanya.

Katanya, sebelum ini ada beberapa kali aduan dan desakan berhubung tekanan agar Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Sementara itu, warga Bangladesh, Nor Mohammad, 44, berkata, kesesakan yang berlaku ketika ini sebab ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan urusan pasport turut tertangguh.

"Kesesakan pun ada pihak keselamatan yang jaga," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 5:02pm
d