mutakhir

Nelayan dibaham buaya ketika cuci bot

Oleh Joshua Eric

SEORANG nelayan hilang disambar buaya ketika mencuci bot di Pengkalan Nelayan Kampung Seduku Illi, Sungai Batang Lupar, Sri Aman, pagi ini.

Kejadian berlaku ketika Kong Gindi, 47, sedang mencuci bot bersama dengan rakannya Sagi Thomas di jeti itu pada jam 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Bingkok John berkata, Kong dikatakan turun ke dalam sungai untuk mencuci bahagian belakang bot sebelum buaya muncul dan menyambarnya.

Katanya, rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung.

"Keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Aman pada jam 9.51 pagi dan susulan itu gerakan mencari dan menyelamat dilakukan.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan kekuatan seramai empat anggota polis, lapan anggota bomba, tujuh anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 40 orang penduduk kampung," katanya.

Katanya, sehingga jam 4 petang ini mangsa belum ditemukan dan usaha mencari diteruskan.

Pada 22 April lalu, seorang nelayan, Yanha Mahrat, 29, dari Kampung Tengah, Lingga maut diserang buaya ketika memasang pukat di Sungai Batang Lupar berdekatan Kampung Melayu Tanjung Bijat, Sri Aman.

Dua hari kemudian, mayat mangsa ditemukan terapung 2.7 kilometer dari lokasi dia dibaham buaya dalam keadaan kedua belah tangan dan kaki kiri putus.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 5:24pm
d