mutakhir

Pendapat berbeza denda RM1,000 tidak pakai pelitup muka

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PENGUMUMAN kerajaan mengenakan denda RM1,000 kepada orang ramai tidak memakai pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos ini, mendapat pandangan berbeza masyarakat.

Peniaga, Baharudin Ismail, 64, denda itu terlalu tinggi dan tidak setimpal dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka berbeza dengan kesalahan jalan raya yang dikenakan hukuman RM300 sahaja.

"Bagi yang ada duit dan kemampuan mungkin boleh bayar, tetapi kalau dari keluarga susah sudah tentu tidak mampu membayar denda dan akhirnya penjara sesak dengan pesalah ini," katanya.

Pesara tentera, Azman Diran, 44, mempersoalkan sama ada pelitup muka menjadi punca sebenar penularan dan penyebaran wabak Covid-19 atau sebab lain hingga ia dikuatkuasakan begitu ketat.

"Jika tidak, mengapa perlu diwajibkan dan kita sedia maklum kebanyakan penyakit ini tersebar disebabkan atas faktor pesakit 'import' yang menjadi punca utama penyebarannya.

"Maka menjadi satu kewajipan atau ketetapan bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib selama 14 hari seperti sebelum ini dan denda banyak perlu dikenakan kepada mereka yang degil, bukannya orang ramai," katanya.

Berlainan pula pendapat kakitangan kerajaan, Norlina Ahmad, 36, yang bersetuju dengan langkah kerajaan mengenakan denda RM1,000 jika tidak memakai pelitup muka ketika di khalayak ramai.

"Untuk permulaan bila diperketatkan prosedur operasi standard (SOP) memang berbaloi untuk mendisiplinkan rakyat yang sudah mula ingkar arahan dengan tidak mengendahkan SOP terutama ketika di tempat awam.

"Bagi saya tidak ada masalah jika peraturan denda RM1,000 kepada mereka melanggar peraturan dilaksanakan bermula 1 Ogos ini demi keselamatan dan kesihatan semua rakyat.

"Denda tak tinggi mana pun kalau dikirakan kos kerajaan menanggung setiap pesakit di hospital yang membabitkan ramai kakitangan awam dan menyusahkan banyak pihak," katanya.

Tinjauan mendapati, kebanyakan sekolah mengamalkan SOP seperti disarankan kerajaan, tetapi situasi berubah apabila pelajar keluar atau berada di luar kawasan sekolah apabila mereka bersesak di dalam van sekolah atau ketika sedang menunggu kedatangan ibu bapa masing-masing.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 5:33pm
d