mutakhir

Tiada benteng penahan air punca banjir kilat

Oleh Mohd Amin Jalil

KEGAGALAN pemaju hartanah menyediakan benteng penahan air atau Onsite Stormwater Detention (OSD) berkeupayaan menampung aliran air di tapak projek, menjadi punca kepada banjir kilat melanda Pusat Komersial Taman Bukit Kepayang, Seremban, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, faktor lain menyumbang kepada banjir kilat itu termasuk sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, selain itu terdapat longkang monsun dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Walaupun banjir itu hanya memberi kesan kepada premis perniagaan dan bukannya kediaman penduduk, orang ramai yang berurusan di situ tidak puas hati.

"Mereka tidak sanggup mengambil risiko kerosakan enjin kereta disebabkan banjir kilat, manakala pelanggan berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga.

"Sistem saliran di premis berkenaan tercemar kerana banyak sampah sarap tersangkut, sekali gus memberi imej tidak baik pada pusat perniagaan ini," katanya kepada media selepas meninjau lokasi berkenaan, hari ini.

Nicole berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik di kawasan terbabit supaya banjir kilat tidak berulang pada masa depan.

Beliau berkata, antara cadangan itu termasuk menggesa pemaju berkenaan membina OSD lebih besar supaya laluan air lebih lancar.

"PBT akan teliti langkah paling sesuai supaya banjir kilat di kawasan ini dapat diatasi sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 7:22pm
d