mutakhir

Seludup beras, beras pulut untuk Aidiladha

Oleh Siti Rohana Idris

TINDAKAN pantas Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan beras dan beras pulut dari Thailand di Kampung Kelaboran, Tumpat yang dipercayai untuk persediaan sambutan Aidiladha nanti.

Malah, hasil rondaan di Kampung Simpangan pula, PGA berjaya merampas kain pasang bernilai RM315,800 yang mahu diseludup ke Thailand untuk dijahit manik.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam rampasan pertama pada 11.30 pagi semalam, anggotanya menerima maklumat terdapat stor simpanan hasil aktiviti penyeludupan di Kampung Kelaboran, Tumpat.

"Serbuan terus dibuat di premis tidak bernombor itu dan hasil pemeriksaan anggota menemui longgokan beras dan beras pulut pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand.

"Rampasan beras pelbagai jenama adalah seberat 1,691 kilogram (kg) manakala beras pulut pula seberat 75kg dan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM7,289," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua barangan itu dipercayai dibawa masuk untuk persediaan sambutan Aidiladha nanti.

Menurut Nor Azizan, anggotanya merampas 1,479 kain pasang dalam serbuan kedua di Kampung Simpangan pada 1 tengah hari.

"Anggota ternampak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Unser dalam keadaan mencurigakan diletak di kawasan masjid di Kampung Simpangan.

"Mereka sedang menjalankan rondaan menunggu kira-kira 20 minit namun tiada individu yang datang sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah bungkusan mengandungi kain pasang yang cuba diseludup ke Thailand untuk dijahitkan manik.

"Kesemuanya adalah sebanyak 1,479 pasang dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM315,800 dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 10:13am
d