mutakhir

Serah kepada mahkamah - Azalina

Oleh Sophia Ahmad

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili tuntutan saman yang dikemukakan terhadap beliau dan Speaker Datuk Azhar Azizan Harun.

Menurutnya, Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan mengesahkan bahawa sebarang prosiding di dalam majlis Parlimen atau jawatankuasa yang ada tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Katanya, ia dapat dilihat dalam kes Mahkamah Tertinggi membabitkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar dan Datuk R Ganesan.

"Dalam kes itu, mahkamah memutuskan bahawa sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa Mahkamah untuk membuat penghakiman," katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Azalina berkata, peletakan jawatan Ahli Parlimen Teluk Intan berlaku sebelum usul pelantikan dirinya dibaca di bawah Peraturan Mesyuarat 6 Dewan Rakyat.

"Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku, " katanya.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi plaintif pada 23 Julai lalu memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina, masing-masing sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Turut dinamakan sebagai plaintif adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Kesemua mereka memfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam saman pemula itu, kelima-lima plaintif menamakan keempat-empat mereka sebagai defendan pertama hingga keempat.

Mereka memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ianya tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 10:56am
d