mutakhir

Pinda Akta Finas: Peranan industri kreatif diberi perhatian

Oleh BERNAMA

PERANAN industri kreatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi antara faktor yang diteliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaras hasrat kerajaan untuk meminda Akta Finas 1981 (Akta 244).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, ia akan dibincangkan secara lebih mendalam dan menyeluruh, agar setiap pemain industri kreatif menerima manfaat mengikut situasi semasa, malah akta itu juga harus digarap semula berlandaskan 'semangat Finas'.

"Kenapa (Finas) ditubuhkan, kerana antaranya faktor pembangunan (industri kreatif) dan kedua adalah memelihara, menggalak dan memudahkan (pemain industri).

"Inilah perkara yang kita akan lihat dan kita harus akur dengan keadaan semasa dan juga perlu jangka apa akan datang pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelas Ahmad Idham, usaha penambahbaikan akta itu merupakan sebahagian agenda utama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sejak menerajui kementerian itu.

Ditanya sama ada tafsiran 'filem' dalam akta itu perlu dikemas kini selaras kewujudan platform media baharu, Ahmad Idham berkata apa sahaja berkaitan akta itu akan ditambah baik termasuk sekiranya terdapat keperluan mengemas kini tafsiran itu mengikut kehendak semasa.

"Platform baharu bukan perkara baharu, teknologi 'bergerak' mengikut peredaran masa seperti ketika radio dan televisyen naik (diperkenalkan) dulu jadi masalah dan turut menjadi propaganda.

"Ia merupakan norma dalam peredaran teknologi dan kita kena lihat apabila teknologi semakin maju kita tidak boleh terus meminda (sesuatu akta) pada masa itu tetapi kena melihat kepada kesesuaiannya," tambahnya.

Saifuddin semalam mengumumkan kerajaan akan meminda akta itu sambil menegaskan pendirian untuk mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

Menteri itu turut menegaskan pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas.

Khamis lalu, sebahagian daripada laporan mengenai jawapan Saifuddin ketika persidangan Dewan Rakyat berkaitan keperluan Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) untuk perfileman, memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan beliau sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta polemik.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Media Baharu dan Keusahawanan Kandungan, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Mohd Hilmi Bakar berkata hasrat kerajaan untuk meminda Akta Finas itu wajar dan harus dimulakan dengan mengemas kini perincian definisi 'filem' itu sendiri.

Merujuk kepada definisi 'filem pendek' dalam akta itu katanya, terguna pakai kepada rakaman video peribadi seperti ulasan makanan atau produk yang dimuat naik menerusi media sosial.

"Akta ini digubal sejak tahun 1981, jauh sebelum kewujudan platform media sosial. Jelas sekali definisi 'filem' dalam akta perlu dijengah semula," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mengiktiraf peranan dan ciri-ciri platform media sosial dan digital kerana setiap pengguna platform itu bertindak sebagai pencipta kandungan (content creator), pengedar dan penyiar.

Justeru, kata beliau adalah lebih penting untuk kerajaan meneliti garis panduan mengenai ciri-ciri kandungan digital yang disiarkan di media sosial berbanding mengenakan lesen untuk menerbitkan sesuatu kandungan.

"Setiap hari ada sahaja kandungan baharu disiarkan pengguna media sosial, nanti timbul persoalan (sekiranya lesen dikenakan kepada pengguna media sosial) mampukah 'manpower' (penguat kuasa) dan peruntukan kita untuk mengesahkan semua video di platform digital," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 11:50am
d