mutakhir

Padah selit pistol 'tembak cicak' di pinggang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PADAH bawa pistol 'tembak cicak', seorang pengawal keselamatan ditahan polis di Changkat Sungai Ara, Bayan Lepas hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas fotonya menyelitkan objek seperti pistol di pinggangnya ketika menunggang motosikal tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, foto berkenaan dikesan oleh pihak polis yang melakukan pemantauan jenayah di media sosial pada 2.30 petang.

Menurutnya, seorang individu didapati memuat naik dua keping foto berkenaan menerusi hantaran dalam bahasa Cina di Facebook yang menunjukkan suspek menaiki motosikal Honda Wave ketika melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke susur Jambatan Pulau Pinang di Georgetown.

"Akhirnya, lelaki berkenaan berjaya ditahan pada 3 pagi hari ini di pos pengawal sebuah kondominium di Bayan Lepas.

"Turut dirampas ialah sepucuk pistol tiruan dengan satu kelopak, beg sandang, motosikal Honda Wave, anak kunci dan topi keledar," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatannya bagi tujuan suka-suka.

Katanya, suspek mendakwa membeli pistol tiruan yang digunakan bagi menembak cicak itu di kedai runcit berhampiran Tanjung Tokong pada Mei lalu dengan harga RM70.

"Suspek mendakwa menyelitkan pistol tiruan itu di bahagian pinggangnya ketika menunggang motosikal adalah kerana suka-suka.

"Lelaki itu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dua kes membabitkan dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 1:01pm
d