mutakhir

Kita mampu uji 37,000 kes Covid-19 sehari [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

KAPASITI dan keupayaan makmal ujian sampel saringan dan pengesanan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 37,000 kes sehari berbanding hanya 35,000 kes sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ujian sampel Covid-19 itu membabitkan 56 makmal di seluruh negara berbanding hanya 53 makmal sebelum ini.

Beliau berkata, ujian dan saringan bagi mengesan individu bergejala dan tidak bergejala adalah elemen terpenting dalam memastikan penularan wabak berkenaan dapat dikawal dan tidak menular.

"Data yang kita ada hari ini, setakat ini kita dapat uji atau buat saringan hampir 1,000,000 (satu juta) individu di negara ini disaring, diambil swab test dan dihantar untuk diuji di makmal seluruh negara.

"Setakat ini, kita boleh saring 37,000 kes sehari dengan 56 makmal bersedia sepenuhnya untuk menguji sampel diambil sama ada mempunyai strain Covid-19 di dalamnya berbanding sebelum ini hanya mampu menyaring 35,000 dengan hanya 53 makmal.

"Malaysia antara negara mampu melakukan ujian pengesanan Covid-19 dengan kadar tinggi berbanding negara lain yang terjejas akibat wabak berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Bicara Dewan Muda Johor: Di Sebalik Pandemik Covid-19 di Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato Onn (IKLAS), Johor Bahru, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, bilangan pensampelan ujian saringan Covid-19 di negara ini setanding dengan negara maju termasuk Korea Selatan apabila mampu menyaring 28 individu bagi setiap 1,000 populasi.

Beliau berkata, uUjian saringan dilakukan Korea Selatan ialah 26.29 bagi setiap 1,000 populasi dengan hanya Singapura mampu menyaring 79 individu bagi 1,000 populasi mereka.

"Ujian dan saringan untuk Covid-19 adalah elemen penting untuk pastikan kita dapat mengesan, mengekang, menghalang serta membendung lebih awal penularan pada peringkat awal, sekali gus dapat meyakinkan rakyat bahawa kita dapat mengawal penyakit ini," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, ujian saringan dilakukan dengan pantas dan memperbanyakkan makmal ujian adalah antara faktor Malaysia berjaya merendahkan jumlah jangkitan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, pegawai kementerian akan turun ke lapangan segera bagi membuat saringan apabila kes jangkitan dikenal pasti.

Katanya, selepas itu, individu disyaki dijangkiti akan segera diasingkan dengan siasatan kontak rapat dijalankan serta-merta

"Sekiranya individu dalam pemantauan (PUI) didapati positif mereka akan kekal diasingkan dan kontak rapat disaring.

"Individu di bawah pengawasan (PUS) akan diasingkan sehinggalah 14 hari sebelum dilepaskan jika disahkan negatif.

"Langkah dibuat ini sangat berkesan dan menjadi faktor utama jangkitan di dalam masyarakat negara kita kekal rendah, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 2:47pm
    d