mutakhir

Kebenaran jadikan hotel pusat kuarantin bergantung pada kerajaan negeri

Oleh BERNAMA

KEBENARAN untuk menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin Covid-19 bergantung pada kerajaan negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, dari satu segi, kebenaran itu dapat membantu pengusaha hotel meningkatkan kadar penghunian susulan kekurangan kedatangan pelancong.

"Setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 masing-masing dan terdapat negeri yang mahu menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin bagi melestarikan operasinya berikutan sektor pelancongan kini sudah dibuka," katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan agensi Kerajaan, agensi bukan kerajaan serta Koperasi Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri Melaka yang dilaporkan tidak membenarkan hotel dijadikan pusat kuarantin Covid-19 bagi mengelak sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negeri itu terjejas.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, mana-mana hotel perlu memohon kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri masing-masing jika ingin menawarkan perkhidmatan kuarantin kepada individu yang baru pulang dari luar negara.

Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus berkenaan adalah yang keempat selepas Sabah, Kedah dan Kelantan, bertujuan menguar-uarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang akan dilaksanakan Teraju, Yayasan Peneraju dan SEPADU bagi membantu golongan B40.

Katanya, sesi itu juga sebagai persediaan pihak kerajaan negeri menerapkan iltizam WKB 2030 dalam program yang dilaksanakan menerusi agensi dan jabatan kerajaan negeri seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 4:20pm
d