mutakhir

Maut langgar lori berhenti di lorong kecemasan

Oleh Essa Abu Yamin

WANITA maut manakala adiknya parah apabila kereta dinaiki mereka merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 98.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Batu Pahat, hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penguasa Bomba Kanan II Zakaria Mohamed berkata, dalam kejadian 7.54 pagi itu, pemandu kereta, Siti Sarah Mohammad Ali, 27, maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, adik mangsa, Siti Nurfarhana, 24, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pula parah.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dipandu mangsa merempuh belakang lori yang berhenti di laluan kecemasan.

"Akibat rempuhan terbabit, kedua-dua beradik itu tersepit dan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa di dalam kereta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seramai 14 anggota dan satu jentera LFRT serta satu EMRS dari BBP Yong Peng bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut manakala mangsa cedera dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat manakala pemandu lori berusia 33 tahun tidak cedera.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 5:10pm
d