mutakhir

Dua warga tempatan ditahan upah warga asing

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN dua lelaki tempatan mengupah pekerja warga asing tanpa permit sah mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam dua serbuan di Jalan SS 2/60 dan di dalam premis Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan bermula 6.30 petang hingga 10.50 malam itu menahan suspek berusia 23 dan 59 tahun bersama lima pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 27 tahun.

Menurutnya, pekerja terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen diri serta bekerja tanpa permit yang sah di dalam premis itu.

"Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

"Pihak polis Ibu Petaling Jaya sudah memberikan nasihat dan peringatan, namun masih ada yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, oleh itu, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Petaling Jaya akan bertegas kembali demi menjaga kepentingan awam dengan cara membuat tangkapan dan mengenakan kompaun kepada sesiapa yang tidak mengikut (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 5:33pm
d