mutakhir

Sarawak mungkin laksana sekatan perjalanan jika kes terus naik

Oleh BERNAMA

SARAWAK mungkin mengenakan sekatan perjalanan terhadap pelancong atau masyarakat luar yang ingin memasuki negeri itu jika situasi penularan tempatan Covid-19 terus meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun ia akan menjejaskan industri pelancongan, langkah itu perlu memandangkan ia satu-satunya kaedah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik itu.

"Tanpa sebarang amaran, terdapat peningkatan mendadak (kes Covid-19) dan ini bukan jangkitan dari luar, sebaliknya jangkitan tempatan dan menunjukkan bagaimana bahayanya kalau kita tidak menjaga pergerakan kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Beccari Discovery Trail di Bukit Matang, Kuching, hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sentiasa memantau situasi semasa penularan Covid-19 di negeri itu khususnya di Bahagian Kuching dan Samarahan yang menunjukkan peningkatan ketara sejak seminggu lalu.

Sebelum peningkatan itu, Abdul Karim berkata, kadar kemasukan pelancong ke Sarawak sudah mula menunjukkan kenaikan dengan purata kadar penghunian hotel di antara 50 dan 60 peratus dicatatkan sejak Jun sehingga kini.

"Kita menjangkakan pada September nanti kadar ketibaan pelancong ke negeri ini akan kembali seperti biasa," katanya.

Menyentuh Beccari Discovery Trail yang dilancarkan hari ini, Abdul Karim berkata, kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai antara tarikan pelancongan baharu di Sarawak.

"Tempat ini agak dekat iaitu kira-kira 17 kilometer dari bandar Kuching serta mempunyai nilai sejarah tinggi.

"Seorang ahli botani terkenal Odoardo Beccari pernah menjalankan penyelidikan berkaitan flora dan fauna di kawasan itu ketika era pemerintahan Raja Putih kedua iaitu Rajah Charles Brooke," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 7:10pm
d