mutakhir

Hanya seminit sahaja...

Oleh Adnan Ibrahim

EMPAT beranak berhadapan detik cemas selepas sebahagian bumbung rumah mereka di Jalan Pelaga, Taman Indah Jaya 2, Kluang, diterbangkan angin dalam kejadian kira-kira seminit, pada 2.32 petang hari ini.

Salmiah Hassan, 47, berkata ketika kejadian, dia bersama suaminya, Fadzil Hashim Basari, 53, serta dua anak berusia tujuh dan 21 tahun sedang berehat selepas makan tengah hari.

Katanya, pada 2.30 petang, dapat dirasakan angin mula bertiup, namun agak perlahan sebelum secara tiba-tiba menjadi kuat dan menerbangkan atap ke halaman rumah.

"Ketika kejadian, dapat didengar satu persatu atap diterbangkan dengan sebahagian daripadanya menghempap siling seterusnya memasuki rumah.

"Suami pada masa itu terus menarik saya dan anak untuk mencari tempat perlindungan di dalam bilik sehingga keadaan kembali reda," katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, sebahagian bumbung rumahnya rosak dan kini terpaksa ditutup dengan plastik bagi mengelakkan air hujan memasuki rumah.

Katanya, hanya rumah mereka rosak teruk dalam kejadian itu manakala beberapa rumah bersebelahan tidak terjejas.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 7:20pm
d