mutakhir

APEC diseru pupuk integrasi serantau lebih mendalam

Oleh BERNAMA

KERJASAMA Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu mengadakan integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam bagi meneroka peluang yang timbul akibat kesan limpahan dalam perdagangan serta rantaian bekalan global yang terhasil daripada krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peranan APEC sebagai inkubator kepada idea baharu dan platform yang cekap untuk program pembinaan kapasiti perlu digunakan bagi merapatkan perbezaan.

"Walaupun kawasan perdagangan bebas Asia Pasifik yang diilhamkan oleh APEC masih lagi jauh, ia tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada ekonomi terbabit untuk fokus kepada persamaan dan bekerja ke arah pertumpuan idea dengan meniru amalan terbaik yang boleh dipelajari antara satu sama lain," katanya dalam satu sidang akhbar maya selepas mempengerusikan mesyuarat digital pertama untuk menteri-menteri perdagangan APEC di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, pandemik Covid-19 menyebabkan APEC untuk bertindak lebih pantas dalam cara yang terselaras.

"Krisis kesihatan kali ini adalah ujian sebenar ke atas APEC yang menandakan perpaduan dan ketetapan dalam bertindak balas ke arah mempergiatkan semula ekonomi selepas pandemik. Seperti yang kami sudah simpulkan melalui mesyuarat hari ini, ekonomi-ekonomi APEC akan terus berpadu bagi mengurangkan kesan krisis Covid-19," tambahnya.

Katanya, komitmen berkenaan sekali gus, mencerminkan kepentingan untuk mengekalkan pasaran supaya sentiasa terbuka bagi menjamin perdagangan serta pelaburan yang bebas dalam persekitaran semasa.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 7:51pm
d