mutakhir

OKU candat 100 ekor sotong

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEKURANGAN diri tidak menghalang tujuh lelaki orang kurang upaya (OKU) turun mencandat sotong yang menjadi antara aktiviti pelancongan wajib di Terengganu.

Lebih membanggakan, mereka yang mengalami masalah penglihatan bukan hanya mampu menaikkan hampir 100 ekor sotong tetapi mampu bertahan dan tidak mabuk laut sebaliknya ada antara sukarelawan yang menemani mereka 'tumbang' akibat mabuk laut.

Daripada tujuh peserta itu, empat daripadanya buta sepenuhnya manakala tiga lagi mempunyai masalah penglihatan yang terhad.

Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, dia bersama enam lagi peserta ditemani sukarelawan PERTIS Wilayah Terengganu.

"Terima kasih kerana kami diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman mencandat yang selama ini hanya didengar mengenai keseronokannya daripada orang, radio atau televisyen.

"Kita tahu candat ini antara aktiviti wajib di Terengganu dan terima kasih kepada beri kami peluang, harapan kami lebih banyak aktiviti lain dapat dirasai golongan istimewa seperti kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program Mari Candat Sotong Bersama OKU Penglihatan diadakan hasil kerjasama PERTIS Wilayah Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu).

Katanya, program yang bermula pada 5.30 petang semalam hingga 10 pagi hari ini dilakukan di perairan Pulau Kapas, bagi memberi peluang golongan istimewa itu merasai sendiri pengalaman mencandat.

"Alhamdulillah, mereka gembira dan puas hati apabila berjaya menaikkan hampir 100 ekor sotong selain dapat memancing ikan.

"Aktiviti mencandat sotong antara tarikan pelancongan di Terengganu dan penyertaan golongan OKU hari ini membuktikan aktiviti ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

"Walaupun peserta istimewa, kita tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila kita hadkan hanya 10 orang dalam satu bot walaupun ia sebenarnya boleh memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 8:36pm
d