mutakhir

Tak patuh SOP, 16 dikompaun

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEBANYAK 16 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekitar daerah Timur Laut, Georgetown, hari ini.

Kompaun terbabit dikeluarkan menerusi operasi yang dijalankan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ketika Op Pematuhan SOP-PKPP selama dua jam bermula 12 tengah hari di lima lokasi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan itu dijalankan terhadap 129 premis di daerah berkenaan.

Katanya, lapan daripada kompaun dikeluarkan kepada pelanggan kerana tiada penjarakan sosial manakala lapan lagi kepada pemilik premis.

"Sebanyak empat premis dikompaun berikutan tiada buku pendaftaran dan tidak mengambil suhu pelanggan selain tidak menyediakan persanitasi tangan.

"Selain itu, dua premis tidak mengamalkan penjarakan sosial dan dua lagi membabitkan perniagaan salon yang tidak patuh SOP pemakaian," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, sebanyak 18 premis diperiksa di kawasan Jalan Patani, Pulau Tikus (24), Datuk Keramat (46), Georgetown (20) dan Lebuh Pantai (21).

"Operasi berkenaan membabitkan 109 anggota daripada 20 pasukan pematuhan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang itu perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 14 hari bagi mengelakkan daripada diambil tindakan seterusnya," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 9:06pm
d