mutakhir

Alunan azan merdu dari penjara [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

"INI bukti penjenayah seperti saya juga ada ilmu agama, cuma kami tersasar dengan masalah dunia," luah seorang banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Dia yang dikenali sebagai Yie, 31, menjadi johan pertandingan Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penghuni penjara terbabit kerana alunan azan yang merdu selain memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh juri profesional.

Katanya, cita-citanya mahu menjadi muadzim atau bilal sejak sejak kecil malah ketika di kampung juga dia tidak melepaskan peluang melaungkan azan di surau, namun apakan daya dia terpesong dengan terbabit dalam jenayah serta penyalahgunaan dadah.

"Ini adalah kali kedua saya dimasukkan ke penjara yang mana kali pertama saya ditempatkan di penjara Machang selama 10 bulan. Setelah dibebaskan, saya sekali lagi 'tersasar' dan terbabit dalam jenayah dan kini menjadi tahanan reman di sini.

"Tiada siapa yang mahu diri terkurung di balik tirai besi, namun saya perlu menerima balasan atas apa yang saya lakukan. Sekurang-kurangnya di sini akhlak saya lebih terjaga, malah ilmu agama juga boleh dicari apabila pihak penjara menyediakan tenaga pengajar untuk kami.

"Sebenarnya, asas untuk mengalunkan azan dan iqamat sudah ada dalam diri saya namun diperbaiki lagi oleh tenaga pengajar di sini supaya ia lebih merdu tanpa sebarang kesalahan," katanya ketika ditemui di surau penjara Pengkalan Chepa.

Hadir sama, Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, yang turut menyaksikan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Yie yang berasal dari Tanah Merah, berkata dia tidak menyangka dan berbangga dapat menjadi johan selepas mengalahkan 21 lagi rakan banduan yang mana memiliki kehebatan suara masing-masing.

"Saya dapat tahu saya akan menggalas tanggungjawab bilal di masjid penjara selepas ini dan tidak menganggap ia sebagai tekanan malah gembira dengan tawaran terbabit.

"InsyaAllah, semoga dengan cara ini saya dapat berubah ke arah yang lebih baik selain dapat mendekatkan diri kepada Pencipta kerana saya tahu ini sahaja jalan untuk menjauhkan saya dari melakukan perkara yang tidak bermanfaat.

"Saya bertekad mahu berubah dan menjafi anak yang baik kepada kedua ibu bapa selain berharap masyarakat boleh memberi sokongan kepada banduan seperti saya jika dibebaskan kelak," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 8:47am
d