mutakhir

Letak alat imbas suhu tanpa bateri

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIDAK tahu perlu penjarakan sosial di meja makan antara alasan diberi pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Malah ada yang hanya meletak alat pengimbas suhu tanpa bateri di atas meja di hadapan premis sebagai 'cukup syarat' pematuhan SOP berkenaan.

Tindakan itu dikesan sepasukan anggota polis ketika menjalankan pemantauan Op Pematuhan SOP-PKPP terhadap lebih 30 premis di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lebih 22 kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan ketika pemantauan selama dua jam bermula pada jam 8 malam itu dijalankan.

Katanya, operasi berkenaan akan terus dijalankan bagi memastikan pemilik premis dan orang awam mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Semasa pemeriksaan, kami menemui alat pengimbas suhu yang diletakkan di atas meja di hadapan premis namun tidak mempunyai bateri dan dipercayai berfungsi sebagai 'dummy'.

"Kesalahan lain yang dilakukan ialah gagal menyediakan alat pengesan suhu, tidak menyediakan buku pendaftaran serta tidak mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Mengulas lanjut Soffian berkata, sepatutnya pada tempoh PKPP, pemilik premis dan pelanggan sudah tahu mengenai tanggungjawab masing-masing.

Malah kerajaan sudah berusaha mengumumkan SOP demi memutuskan rangkaian Covid-19 di negara ini.

"Kita kesal masih ada tindakan begini sedangkan bandaraya ini antara yang menjadi tumpuan pengunjung saat kebenaran rentas negeri dibenarkan.

"Pihak polis masih menanti arahan pengumuman SOP yang diperketatkan semula dan diharap orang ramai dan pemilik premis dapat mematuhi arahan berkenaan," katanya lagi.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 10:32am
d