mutakhir

Sanitasi awam setiap 6 bulan atau setahun [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan sanitasi awam setiap enam bulan atau setahun.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, SOP itu sedang dalam penelitian sebelum boleh dilaksanakan.

"Buat masa ini, saya sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuat program sanitasi semula di kawasan awam yang perlu.

"Kemungkinan kita akan laksanakan SOP yang mana setiap bangunan awam perlu buat sanitasi setiap enam bulan atau setahun sekali untuk memastikan kebersihan dan mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Pei You dan Program Kesedaran Cegah Kebakaran di Kampung Baru Salak Selatan, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Zuraida berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan memantau dan memeriksa pematuhan SOP Covid-19.

Katanya, ia selaras dengan pengumuman kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat awam sesak bermula 1 Ogos ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, orang ramai wajib memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta berada di tempat awam termasuk pasat dan pasar tani.

Beliau berkata, individu didapati tidak mematuhi perintah itu boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000.

Berhubung peningkatan kes denggi di negara ketika ini, Zuraida berkata, pihaknya akan melakukan tindakan lebih tegas dalam usaha menangani kes denggi.

"Kita akan lihat balik bagaimana hendak menangani kes denggi ini, mungkin pendekatan lebih ketat sebagaimana kita laksanakan untuk menangani Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 12:17pm
    d