mutakhir

Ingkar PKPP dengan berseronok di kelab malam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PASUKAN Khas Operasi Pematuhan menahan 617 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 20 daripadanya direman manakala 597 individu dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKPP dikesan termasuk aktiviti kelab malam (331) dan aktiviti dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (286).

"Pasukan khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 61,715 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,736 pasukan pematuhan membabitkan 12,520 anggota membuat pemantauan di 4,238 pasar raya; 5,903 restoran, 1,999 penjaja; 1,225 kilang; 3,634 bank dan 682 pejabat kerajaan.

Menurutnya, pemantauan juga dilakukan di 1,205 terminal pengangkutan darat; 232 terminal pengangkutan air serta 88 terminal pengangkutan udara.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, PDRM membuat 67 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,224 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong tikus.

Katanya, PDRM menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Agensi penguat kuasa aktif mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 2:04pm
d