mutakhir

Bekas penasihat peribadi Dr Rozmey didakwa pecah amanah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BEKAS penasihat peribadi dan kewangan ahli perniagaan, Che Rozmey Che Din dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM246,100 antara 2014 hingga 2016.

Tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dua akaun milik syarikat AS Utama Consultant dan akaun peribadi bagi melakukan pengubahan wang haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di CIMB Bank Berhad dan Bank Hong Leong cawangan Alor Setar antara 10 September 2014 hingga 31 Ogos 2016.

Berikutan itu, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Badrul Hisham Abdullah.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM30,000 dan seorang penjamin dan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki disiasat polis selepas ahli perniagaan, Che Rozmey atau dikenali sebagai Dr Rozmey membuat laporan berhubung perbuatan pecah amanah wang milik syarikatnya.

Lelaki terbabit dikatakan menyeleweng wang bayaran sewa bangunan komersial syarikat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi kegunaan peribadi antara 2014 hingga 2016.

Dia dipercayai mengeluarkan wang berkenaan melalui pengeluaran tunai, cek dan pindahan wang ke beberapa akaun.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 2:46pm
d