mutakhir

Polis perketat pemantauan di pusat hiburan

Oleh Juwan Riduan

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menguatkuasakan operasi rondaan dan pemantauan kawalan Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sekitar Kota Kinabalu.

Operasi bermula jam 12.05 tengah malam tadi itu dijalankan di lima premis sekitar Waterfront dan Karamunsing Capital.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi menumpukan kawasan pusat hiburan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati empat premis membenarkan pengunjung berhibur dan menyediakan minuman beralkohol.

"Malah, penjaga premis didapati gagal mengawal pengunjung untuk menjaga penjarakan sosial.

"Tindakan kompaun dikeluarkan kepada empat lelaki yang juga penjaga empat premis terbabit kerana didapati melakukan kesalahan mengikut peraturan-peraturan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit (No.7), Peraturan 3," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, pesalah juga boleh dihukum mengikut peraturan 11, peraturan sama iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Habibi berkata, objektif rondaan dan pemeriksaan dilakukan adalah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dipatuhi sepenuhnya terutamanya oleh pengusaha premis.

Katanya, ini adalah usaha berterusan yang dijalankan PDRM dalam usaha membanteras penularan virus Covid-19.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 3:23pm
d