mutakhir

Masih ada pemilik premis degil tak patuh SOP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA premis perniagaan diberi amaran kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 1,219 premis, semalam.

Katanya, pemeriksaan itu mendapati 1,201 premis mematuhi SOP ditetapkan.

"Semalam, penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 733 premis perniagaan termasuk peruncit (532), pemborong (169) dan pengilang (32).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak 13 Mei lalu, sebanyak 134,138 premis diperiksa oleh KPDNHEP.

"Dari jumlah itu, 128,216 premis didapati patuh SOP manakala 5,619 premis diberi nasihat, manakala 303 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

"Kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 13 operasi sanitasi dilaksana semalam meliputi 11 zon membabitkan lima negeri iaitu Sabah (tujuh operasi), Melaka (tiga operasi) dan Pahang, Perlis serta Sarawak (satu operasi).

Katanya, operasi sanitasi itu membabitkan 30 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 107 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi lain.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 3:30pm
d