mutakhir

13 'adik' ditahan di hotel

Oleh Omar Ahmad

POLIS menahan 14 warga asing termasuk 13 wanita dan seorang lelaki Myanmar dalam tiga serbuan berasingan terhadap aktiviti pelacuran di hotel serta kondominium sekitar Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam wanita Vietnam, Thailand (4), Filipina (2) dan seorang Indonesia.

Menurutnya, serbuan itu turut merampas 38 kondom, 10 botol minyak pelincir, 10 unit telefon bimbit, 11 tuala dan wang tunai berjumlah RM6,090.

"Kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"Dalam masa sama, polis turut membuat 18 serbuan berasingan terhadap aktiviti perjudian di beberapa daerah negeri ini.

"Seramai 18 orang yang ditahan termasuk dua wanita iaitu masing seorang wanita tempatan dan warga Indonesia berusia 20 hingga 39 tahun.

"Sebanyak 18 unit telefon bimbit, enam mesin pencetak mudah alih, 43 helai kertas catatan dan wang tunai sebanyak RM2,201," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan seksyen 4A (a) akta sama.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 5:36pm
d