mutakhir

Pati di DTI dijaga, diurus dengan baik

Oleh BERNAMA

DITATANG bagai minyak yang penuh, itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan layanan kerajaan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) kerana menceroboh negara ini.

Walaupun mereka jelas pendatang haram, tetapi diberikan kemudahan kesihatan, makan dan minum empat kali sehari, serta beberapa keperluan lain, bagi memastikan hak asasi manusia terpelihara sebelum warga asing terbabit dihantar pulang ke negara masing-masing.

Seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Siti, 40, berkata, beliau diberikan layanan baik oleh pihak Imigresen, meskipun masuk ke negara ini secara tidak sah melalui jalan laut.

"Di tempat ini, kami (warga asing) diberi makan secukupnya. Saya masuk Malaysia sebab ingin bekerja untuk sara anak perempuan umur dua tahun yang ditinggalkan di Indonesia," katanya ketika ditemui Bernama di DTI Belanti, Sik di sini, semasa liputan media eksklusif Op Benteng Covid-19.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) membabitkan beberapa pasukan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem), untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi Pati.

Tinjauan di depot itu mendapati, terdapat seorang pegawai perubatan bertugas di tempat itu dari 8 pagi hingga 5 petang, bagi memberi rawatan kepada warga asing tidak sihat dan terdapat ruang pondok telefon disediakan untuk membolehkan tahanan menghubungi ahli keluarga.

Sementara itu, tahanan lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Kyau, 23, memuji layanan pihak Imigresen terhadap semua warga asing yang berada di depot tahanan.

"Di sini semua cukup, makan minum semua dijaga. Saya kena tahan tahun lalu (2019) kerana tidak ada dokumen sah dan sekarang sedang tunggu untuk dihantar balik ke Myanmar.

"Saya dulu masuk Malaysia dengan berjalan dari Myanmar dan Thailand. Apabila …sampai di sempadan Malaysia saya perlu bayar lebih RM2,000 untuk masuk," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaluddin berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM3 juta setahun untuk kos makan dan minum Pati di depot tahanan.

"Kalau ada tahanan tidak sihat, kami rawat di depot, tetapi jika libatkan penyakit serius, mereka akan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

"Sebagai contoh ada kes kelahiran di depot tahanan dan pihak imigresen bantu tahanan dengan memberikan kemudahan sewajarnya," katanya.

Zuhair berkata, ketika ini, 1,187 Pati berada di DTI Belantik dan proses penghantaran pulang mereka sedang dilaksanakan dengan kerjasama kedutaan masing-masing.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 6:03pm
d