mutakhir

Bantu penduduk yang tiada akaun bank

Oleh Juwan Riduan

PENDUDUK luar bandar dan pedalaman Sabah yang tiada memiliki akaun bank kini boleh membuat urusan perbankan menerusi Program Mobile Community Services (MCS).

Dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), inisiatif program berkenaan adalah bertujuan membawa perkhidmatan utama dan tertentu kerajaan kepada penduduk luar bandar serta komuniti di pedalaman.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup berkata, program seumpama itu dilihat suatu pendekatan terbaik dalam memastikan memastikan tiada seorang rakyat pun tertinggal daripada menerima bantuan diberikan kerajaan.

"Hal ini membuktikan kerajaan berusaha memberikan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

"Saya tahu kira-kira 912 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di kawasan Pensiangan tidak mempunyai akaun bank. Ia merangkumi mukim Nabawan, Sapulut, Pemuntarian, Pagalungan, Pensiangan, Tatalaan dan Sook.

"Oleh itu, kita menyelaras perkara ini terus dengan MOF agar pejabat saya sendiri terlibat dalam memastikan semua penduduk di kawasan parlimen Pensiangan menerima bantuan kerajaan," katanya kepada media selepas majlis Penyerahan BSH/BPN Padalaman Sabah 2020 Bagi Mukim Nabawan, Sepulut dan Pamuntarian Menerusi Program MCS hari ini.

Majlis penyerahan BSH dan BPN pada hari ini membolehkan seramai 517 penerima yang tidak mempunyai akaun bank menerima pembayaran bantuan dengan nilai terkumpul sebanyak RM1.1 juta.

Sementara itu, Arthur berkata, program sama bakal diteruskan di kawasan lain dalam Parlimen Pensiangan iaitu Mukim Pagalungan pada 8 Ogos, Mukim Pensiangan (9 Ogos) dan Mukim Tatalaan.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 11:55pm
d