mutakhir

Dewan bingit isu Melayu rasuah [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

ISU ketuanan Melayu dan rasuah yang dibangkitkan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja, hari ini menyebabkan Dewan Rakyat panas.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bangun membidas Mohamad apabila bekas Menteri Pertahanan itu menyebut secara umum orang Melayu mengamalkan rasuah.

"Yang Berhormat (YB) orang Melayu, jangan hina orang Melayu la YB. Jangan cakap semua Melayu ni rasuah... terlalu umum. Apakah semua orang Melayu rasuah?

"Yang terlibat dua tiga orang, tapi YB nak menyalahkan semua orang. Tak boleh macam tu, menjatuhkan maruah sendiri," kata Noh.

Beliau juga mendesak Mohamad supaya menarik balik kenyataannya kerana menganggap ia satu penghinaan kepada orang Melayu.

"Apa bangsa lain tak ada rasuah ke? YB orang Melayu, saya tahu YB orang baik, bukan kaki rasuah tapi jangan bila sebut rasuah nak kaitkan orang Melayu. Saya minta tarik balik," katanya.

Ketika Noh berdebat dengan Mohamad, Ahli Parlimen pembangkang menyampuk dengan mengatakan Noh 'terasa'.

Mohamad kemudian menjelaskan beliau hanya memberitahu secara umum dan tidak mengaitkan sesiapa, sebaliknya hanya mahukan Melayu yang berintegriti dan bertakwa.

Terdahulu, beliau berkata, bahaya jika orang Melayu terlalu memperjuangkan Ketuanan Melayu kerana bimbang menjadi seperti 'White supremacy' di Amerika Syarikat yang tertanam dalam pemerintahan negara itu hingga meletusnya rusuhan perkaumam, baru-baru ini.

"Jangan kata kita kena sokong orang Islam walaupun dia rasuah, menyeleweng kerana dia ada pintu untuk taubat. Ini kenyataan yang cukup bahaya," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 2:24pm
d