mutakhir

Sumbang RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi untuk dapat projek

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

SEORANG pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, beliau membuat sumbangan sebanyak RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan projek daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Syarikat MTM Network Sdn Bhd, Ng Hong Sing, 56, dalam keterangannya pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi berkata, sumbangan itu dibuat secara berperingkat sebanyak RM600,000 selama setahun.

Saksi ke-79 pendakwaan itu berkata, pembayaran sebanyak RM600,000 itu dibuat antara 21 Mac 2016 dan 28 Jun 2017 menerusi Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Menceritakan semula detik pertemuan dengan Ahmad Zahid sekitar Januari 2016, Hong Sing dalam pernyataan saksinya berkata, beliau meminta rakannya untuk memperkenalkan beliau kepada individu dikenali sebagai Datuk Ruzi bagi tujuan mengembangkan perniagaan, memandangkan Ruzi adalah orang kuat di kawasan Bagan Datuk, Perak.

Tambahnya, pada Januari 2016, Ruzi memberitahu boleh memperkenalkan beliau kepada Ahmad Zahid namun perlu memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akalbudi bagi tujuan mendapatkan kerja.

"Bagaimanapun, Ruzi juga memberitahu masa pertemuan adalah terhad dan memberikan saya selama lebih kurang lima hingga sepuluh minit sahaja," katanya.

Hong Sing berkata, ketika berjumpa dengan Ahmad Zahid beliau mengucapkan terima kasih kerana sudi memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

"Saya memberitahu tertuduh bahawa akan memberikan sumbangan sebanyak RM3 juta dan memaklumkan jika dapat memberikan peluang pelaburan kerana syarikat saya mempunyai pengalaman luas dalam bidang IT.

"Tertuduh kemudian memberitahu urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Ruzi dan pertemuan itu berlaku dalam lebih kurang lima hingga enam minit," katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, apakah tujuan beliau membuat sumbangan? Hong Sing, menjawab: "Untuk menolong orang dan menjadi kawan bagi dapatkan projek."

Harris: Berapa jumlah sumbangan dibayar kepada Lewis & Co?

Hong Sing: RM6.6 juta

Harris: Ada terima apa-apa pulangan?

Hong Sing: Tidak ada

Harris: Ada dimaklumkan tujuan penggunaan wang yang dibayar kepada Lewis & Co?

Hong Sing: Tidak ada

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hong Sing bersetuju bahawa sumbangan itu bukan rasuah dan ia adalah untuk kerja amal.

Saksi itu juga turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa Ahmad Zahid tidak menjanjikan sebarang projek daripada sumbangan berkenaan dan perkataan projek hanya keluar daripada mulut Ruzi.

Sementara itu, saksi ke-80, pengurup wang, Omar Ali Abdullah, 48, dalam keterangannya berkata, sekitar 2014 beliau diminta oleh Ahmad Zahid untuk menolong menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

"Pada masa itu, Ahmad Zahid menyerahkan kepadanya sekeping kertas dengan nombor akaun Yayasan Akalbudi.

"Tertuduh juga meminta saya untuk menukarkan wang tunai yang diterima kepada cek sebelum dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi. Saya tidak pernah bertanya kenapa dan hanya mengikut sahaja arahan," katanya.

Tambahnya, Ahmad Zahid memaklumkan wang tunai itu semua sumbangan bagi tujuan kebajikan.

"Jika saya membantu beliau untuk tukarkan wang tunai tersebut kepada cek, saya juga akan mendapat ganjaran pahala kebaikan hasil daripada pertolongan itu.

"Tertuduh tidak pernah memberitahu mengapa beliau memilih saya untuk menolong menukarkan wang tunai kepada cek dan kemudian dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi," katanya.

Omar Ali, turut memberitahu mahkamah selepas mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan wang tunai kepada cek, beliau kemudian bertanya kepada kenalannya jika mahu menukar wang tunai dan akan mengambil cek mereka.

Katanya, setiap kali menerima wang tunai ia akan segera ditukarkan kepada cek.

"Kebiasaannya saya akan mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk habis menukarkan wang tunai tersebut kepada cek.

"Setiap kali menerima cek saya akan terus masukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi dan slip kemasukan cek akan disimpan sebagai bukti," katanya pada perbicaraan yang masuk hari ke-26.

Katanya, sekitar tahun 2016, Ahmad Zahid mengarahkan wang tunai yang diterima selepas ini ditukarkan kepada cek dan kemudian dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 2:59pm
d