mutakhir

Makcik 'wristband' punya pasal, semua orang susah... [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan dan Suraya Roslan

TINDAKAN seorang wanita yang memakai 'wristband' kuarantin dan makan di restoran seperti tular di media sosial menyebabkan polis terpaksa mencari pelanggan lain untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung ramai individu yang memakai gelang perintah pengawasan (wristband) keluar ke tempat awam.

"Saya nak maklumkan kes membabitkan seorang wanita memakai 'wristband' dan makan di restoran.

"Wanita ini didapati positif (Covid-19), akibatnya ramai kontak yang ada di restoran berkenaan terpaksa dicari oleh polis untuk melakukan ujian saringan dan restoran itu diarah tutup.

"Kesannya (pelanggaran kuarantin) amat besar kepada orang ramai dan perniagaan bagi individu yang melanggar kuarantin," katanya.

Ismail Sabri turut menegaskan, bermula hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan untuk menangkap dan mendakwa di mahkamah sebahagian daripada 2,897 individu yang masih belum tampil untuk menjalani ujian saringan kedua Covid-19.

"Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

"Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota PDRM akan membuat pemeriksaan untuk memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan dengan duduk di rumah sepenuhnya untuk menjalani kuarantin dan elak bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

"Selain itu, individu berkenaan wajib memakai wristband serta menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf KKM," katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada PDRM sekiranya terdapat individu dengan wristband kuarantin keluar di tempat awam dan mereka yang tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan kompaun RM1,000 ataupun didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan.

Katanya, selain itu, keputusan kerajaan untuk membuka semula stesen kuarantin untuk proses kuarantin wajib 14 hari diambil selepas mengambil kira peningkatan kes import dan risiko penularan jangkitan Covid-19 akibat ketidakpatuhan kuarantin di rumah.

"Bagi warga asing yang menjalani kuarantin wajib 14 hari, mereka perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19 manakala kos untuk rakyat Malaysia pula termasuk ujian saringan Covid-19 ditanggung 56 peratus oleh kerajaan manakala baki 44 peratus ditanggung mereka sendiri.

"Sehingga kini, seramai 1,448 individu dari 19 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di enam hotel dan tiga Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 4:35pm
d