mutakhir

Pengarah syarikat didakwa guna dokumen palsu dapatkan tender RM10 juta

Oleh BERNAMA

SEORANG pengarah syarikat pengiklanan didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen dan invois palsu berjumlah RM10 juta bagi mendapatkan tender dengan Tourism Malaysia.

Ibrahim Omar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Di hadapan Hakim Azman, tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan secara tidak jujur menggunakan beberapa dokumen palsu sebagai tulen antaranya penyata bank CIMB, Borang A Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SN Security Hardware Appointment dan Lummex Global Sdn Bhd Letter Of Award For The Company Brand Communication Campaign.

Kesemua dokumen digunakan dengan tujuan untuk mendapatkan tender 'Agensi Pengiklanan Global Dan Promosi Tourism Malaysia' secara Permintaan Untuk Cadangan, yang diketahuinya sebagai palsu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azura, tertuduh yang berasal dari Sabah, didakwa atas tiga kesalahan sama melibatkan beberapa surat palsu yang dihantar melalui emel milik tertuduh, bagi mendapatkan tender serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Tingkat 8, Unit Perolehan Bahagian Pentadbiran, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Jalan P5/6 Presint 5, Putrajaya, 10 September tahun lepas dan Pejabat Pembangunan Leasing, Corporation Credit And Factoring Sdn Bhd (PLCCM) Tingkat 18, Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara 5 dan 10 Jun 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan, Ibrahim didakwa memberikan dua invois yang mengandungi butiran palsu kepada Malik Omar iaitu Ketua Pembayaran, Pentadbiran Kredit di PLCCM dengan niat untuk memperdayakan beliau bagi perkhidmatan 'Tourism Malaysia Global Media Buy' berjumlah RM7.2 juta, sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Dia yang didakwa melakukan dua kesalahan itu di PLCCM, pada 10 Jun 2020, dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

JIka sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin yang beralamat di Semenanjung Malaysia, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

"Untuk makluman mahkamah, tertuduh juga mempunyai satu kes berhubung kad pengenalan palsu yang sudah dituduh di Mahkamah Majistret Putrajaya," kata Wan Shaharuddin.

Peguam Ashok Athimulan yang mewakili Ibrahim, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan.

"Walaupun jumlah yang terlibat bagi kesemua pertuduhan adalah RM10 juta, akaun bank anak guam saya dan isterinya sudah dibekukan. Sekiranya mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi, ia akan menyukarkan pembayaran jaminan. Berkenaan isu pasport, ia sudah berada dalam rampasan pihak SPRM," katanya.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM250,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beralamat tetap di Semenanjung Malaysia serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 4:43pm
d