mutakhir

PUS di Petaling Jaya patuhi SOP [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

INDIVIDU dalam pengawasan (PUS) di Petaling Jaya didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh 14 hari kuarantin.

Berdasarkan tinjauan wartawan Harian Metro yang menyertai operasi itu di empat kediaman individu PUS di Bandar Utama, di Petaling Jaya, mendapati semua mereka mematuhi arahan tidak keluar rumah dan didapati memakai gelang pengawasan kuarantin Covid-19.

Daripada empat kediaman itu, terdapat lapan individu pulang dari luar negara iaitu Thailand, Australia, Filipina dan Turki diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 242 individu PUS yang direkodkan berada di dalam daerah berkenaan.

"Dalam operasi ini, kami bersama-sama pihak KKM akan melakukan pemeriksaan terhadap individu PUS bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk tidak keluar rumah.

"Setakat ini, kami tiada menerima laporan daripada KKM memaklumkan ada individu PUS di Petaling Jaya tidak menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari ke-13.

"Sekiranya individu PUS yang diperiksa tidak berada di rumah, kami akan membuka kertas siasatan terhadap mereka untuk tindakan lanjut kerana melanggar SOP," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, pihaknya menggerakkan 13 pasukan pada setiap masa untuk melakukan pemantauan di lokasi tumpuan seperti restoran, pasar raya dan pusat beli-belah di daerah berkenaan.

"Hasil pemantauan dilakukan, kami mendapati 95 peratus pemilik premis dan orang awam mematuhi SOP ditetapkan termasuk dari segi penjarakan sosial.

"Bagaimanapun, masih ada individu yang tidak mematuhi SOP termasuk dalam kalangan pelanggan yang mempertikaikan pemakaian pelitup muka dengan pekerja restoran.

"Sekiranya ada pelanggan yang tidak memberi kerjasama dalam pelaksanaan SOP, pemilik restoran boleh bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut termasuk menahan serta mengeluarkan saman terhadap mereka," katanya.

Katanya, pihaknya menahan 20 individu mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit kerana menganjurkan parti hiburan serta mengaji pekerja warga asing dalam tempoh dua hari.

Dalam tempoh itu katanya, sebanyak 324 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP membabitkan pemeriksaan di tiga premis.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 5:00pm
d