mutakhir

Pindaan 15 fasal, 13 Seksyen

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

HASRAT kerajaan menjadikan jalan raya di Malaysia lebih selamat, memasuki fasa berikutnya menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atau Akta Ibu, selepas diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Julai lalu.

"Pindaan daripada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 membuktikan bahawa kerajaan komited mengenakan tindakan tegas, tidak kira pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu yang termasuk merempit.

"Ada kata kementerian sasar pemandu mabuk sahaja, sedangkan ini semua (kesalahan) sasaran kita. Kesemua isu keselamatan pengguna jalan raya kita beri perhatian kerana mahu menjadikan jalan raya kita selamat.

"Kita mahu menjaga keselamatan rakyat Malaysia sebab itu kena tegas. Jadi pemandu jangan cuba dan jangan nak cabar (dengan melakukan kesalahan berkenaan)," katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Parlimen.

Dr Wee berkata, kementerian juga tidak mengecualikan pemandu yang mengantuk hingga menyebabkan kemalangan dengan mengkelaskannya di bawah pemanduan secara melulu atau berbahaya.

Katanya lagi, pihaknya kini menggerakkan kempen kesedaran dan aktiviti pendidikan berkaitan corak pemanduan selamat selaras RUU itu, selain berbincang dengan pengendali perkhidmatan e-hailing mengenai pemandu upahan pada waktu malam untuk mereka yang mabuk.

Terdahulu dalam taklimat itu, media dimaklumkan mengenai pindaan antaranya, Seksyen 41 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau berbahaya, yang menetapkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun bagi kesalahan pertama dan denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Bagi kesalahan berikutnya pindaan itu mencadangkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 ke RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun.

Pindaan Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah dan menyebabkan kecederaan, dikenakan hukuman penjara antara tujuh ke 10 tahun bagi kesalahan pertama dan denda RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga tujuh tahun.

Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh dipenjara 10 tahun ke 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 dan boleh hilang kelayakan lesen selama 10 tahun.

RUU juga meminda Seksyen 45A iaitu memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang mencadangkan penjara tidak lebih dua tahun dan denda RM10,000 hingga RM30,000 atau hilang kelayakan lesen hingga dua tahun bagi kesalahan pertama.

Sementara bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Turut dipinda, kadar alkohol yang kini ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 67 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 5:34pm
d