mutakhir

Bincang laksanakan penumpang pesawat jalani saringan Covid-19 [METROTV]

Oleh Isma Ismail

KETETAPAN bagi setiap individu yang menaiki kapal terbang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dilihat boleh mencegah individu positif daripada menaiki pesawat.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keperluan itu bukan sahaja perlu diteliti pihaknya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), malah ia turut membabitkan syarikat penerbangan.

"Ada individu yang pulang dari mana-mana negara dikenakan syarat oleh syarikat penerbangan supaya menjalani ujian saringan sebelum menaiki pesawat.

"Justeru, kita perlu berbincang dengan syarikat (penerbangan) untuk melihat sejauh mana ia dapat dilaksanakan termasuk bagi penumpang yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Namun, kos ujian saringan yang dilakukan perlu ditanggung sepenuhnya oleh penumpang itu sendiri dan bukannya kerajaan," katanya ketika sidang media di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai 55 kes positif membabitkan warga Kemboja, Noor Hisham berkata, semua individu berkenaan adalah penumpang penerbangan yang transit di KLIA dan bukannya dijangkiti di Malaysia.

"Ia membabitkan kes yang pulang dari Rusia, Arab Saudi dan Mesir, mereka bukan dijangkiti di Malaysia sebaliknya hanya menggunakan lapangan terbang di sini sebagai lokasi transit.

"Dalam situasi ini, timbul isu sama ada penumpang yang transit di lapangan terbang negara ini perlu disaring atau tidak.

"Ini kerana terdapat kes positif membabitkan penumpang dari Melbourne, Australia yang transit di KLIA untuk pulang ke Kuching, Sarawak menjangkiti penumpang di sebelahnya," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, seramai 1,742 individu dalam pengawasan (PUS) yang tercicir daripada menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari ke-13.

"Jumlah itu meliputi 7.2 peratus daripada keseluruhan PUS. Kami akan bekerjasama dengan pihak polis bagi mengesan individu berkenaan.

"Kami juga menyerahkan nama dan alamat mereka kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 6:34pm
    d