mutakhir

Pengarah syarikat didenda RM50,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENGARAH sebuah syarikat mengaku bersalah membuat representasi palsu dalam menghasilkan lampu jalan raya menggunakan logo buatan Malaysia tanpa kelulusan Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tertuduh, Datuk Wong See Keong, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Rofiah kemudiannya membuat keputusan dengan mendendanya sebanyak RM50,000.

Difahamkan, Wong membayar denda berkenaan.

Pada 13 September tahun lalu, KPDNHEP Cawangan Kajang membuat serbuan di kilang milik Wong dan menyita sebanyak 530 unit produk lampu bernilai RM795,000.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Kami sentiasa komited untuk membanteras kegiatan itu. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan barang tiruan boleh menyalurkannya kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 10:14pm
d